fb fb fb fb fb

Pelajar diingatkan tidak ikut dakyah, propaganda tidak tepat

(Foto BERNAMA)

PADANG TERAP, 28 Mei- Golongan pelajar dan mahasiswa diingatkan tidak terikut-ikut dengan dakyah dan propaganda tidak tepat yang boleh mengganggu-gugat perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
 
Pengarah Ghazali Shafie Graduate School (GSEEP), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Azman Khamis berkata mereka perlu menjadi pelajar dan mahasiswa yang berminda kelas pertama dengan menyelidik terlebih dahulu kesahihan maklumat diterima terutama di media sosial sebelum dikongsi dan disebarkan.
 
"Janganlah kita terlampau mengikut propaganda, dakyah dan sebagainya yang boleh menghancurkan perpaduan, keharmonian yang ada pada hari ini.

"Siasat dahulu sesuatu perkara itu sebelum ia ditularkan, antaranya dengan berbincang dengan pakar-pakar ada, guru-guru, masyarakat, ibu bapa dan golongan profesional.

"Perkara seperti itu tidak membawa manfaat kepada kita semua," katanya kepada pemberita di sini.
 
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu generasi muda yang bakal menjadi pewaris pimpinan negara mempunyai nilai dan idealisme untuk membawa perubahan kepada diri sendiri dan masyarakat.
 
Beliau berkata idealisme itu dapat membantu anak muda mencari erti kebenaran dan keadilan sekali gus menolak sebarang bentuk kezaliman dan penindasan di negara ini. 


(Foto BERNAMA)

Media Baharu