KUANTAN, 24 Mei – Pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima kelulusan secara automatik bagi permohonan kemasukan ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain jaminan tempat pelajar terbabit turut akan ditawarkan biasiswa penuh daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menampung keseluruhan kos pengajian mereka di kedua-dua institusi berkenaan.
"Kita telah melalui peperiksaan SPM, saya ucapkan tahniah yang telah mendapatkan keputusan yang cemerlang dan insya-Allah jika keputusan SPM itu 10A dan ke atas saya memberi jaminan UniKL dan UPTM akan secara automatik meluluskan permohonan kemasukan ke UNIKL dan UPTM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) peringkat Kebangsaan di di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pelajar yang memperoleh keputusan antara 5A hingga 9A juga akan ditawarkan tempat pengajian di kedua-dua institusi berkenaan.
Sementara itu, pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya tiga kredit layak memohon program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 1,398 institusi seluruh negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata sebanyak 126,000 permohonan telah diterima untuk pengambilan ke institusi TVET bagi sesi Julai ini, sejak ia dibuka pada 15 April lalu.
Dalam perkembangan sama, hasil perbincangan kerajaan bersama pemain industri TVET turut menyaksikan komitmen untuk menawarkan gaji permulaan yang kompetitif kepada lepasan institusi tersebut.
Ahmad Zahid berkata, lepasan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 akan menerima gaji premium RM3,500 sebulan, manakala lepasan SKM Tahap 5 akan ditawarkan gaji permulaan sehingga RM5,000 sebulan.