KUANTAN, 24 Mei -Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) peringkat Kebangsaan sebagai sebuah inisiatif strategik dalam memperkasa belia menjadi ejen perubahan sosial, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Pelancaran Skuad YPM peringkat kebangsaan itu turut disaksikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Skuad YPM digerakkan sebagai platform untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar luar bandar dan B40 disamping memupuk nilai kepimpinan, kesukarelawan, keusahawanan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
"Program di atas kertas tidak bermakna, kalau ia tidak disambut dan tidak diraikan peluang-peluang ini oleh anak-anak generasi z dan generasi alfa ini saya yakin mulai daripada hari ini langkah yang dibuat oleh YPM adalah langkah pertama untuk anak-anak muda untuk anak bangsa menuju ke masa depan yang lebih gemilang lagi,"katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, seramai 18,400 orang pelajar daripada seluruh negara dijangka mengerakkan Skuad YPM untuk berbakti kepada masyarakat menerusi program-program yang dianjurkan.
Pada tahun 2024, lebih 200,339 pelajar telah menerima manfaat daripada program YPM dengan peruntukan hampir 22 juta ringgit yang membawa pemangkin kecemerlangan pelajar.
Tambahnya, pada tahun 2024, daripada 10,998 penerima manfaat SPM, seramai 4,834 pelajar mendapat keputusan 4A hingga 12A, berbanding 3,048 pelajar pada tahun 2023.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) peringkat Kebangsaan di di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.