KUALA LUMPUR, 2 Disember - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan majlis pertukaran dokumen pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dalam satu majlis di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Jumaat.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istana Negara dalam catatan di Instagram memaklumkan pertukaran dokumen itu melibatkan syarikat-syarikat Malaysia dan Kerajaan Pahang dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi.
"Ia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA dan Masdar yang telah disaksikan oleh Perdana Menteri, semasa kunjungan ke UAE Oktober lepas," menurut catatan itu.
Syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat adalah Tenaga Nasional Berhad, Citaglobal Berhad, Malakoff Berhad, Cypark Resources Berhad, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Tadau Energy Sdn Bhd.
Majlis pertukaran dokumen berlangsung, selepas majlis perasmian Pavilion Malaysia yang disempurnakan Seri Paduka Baginda di Expo City, Dubai.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini berada di Abu Dhabi bagi lawatan khas sehingga 4 Disember ini.
Lawatan khas itu adalah sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim, (COP28).