fb fb fb fb fb

Pekerja penyelenggara jeti jatuh laut ditemukan lemas

(Pekerja kontrak berusia 27 tahun ditemukan lemas dipercayai jatuh ketika
membaik pulih sebuah jeti di Labuan)

LABUAN, 5 Mac- Seorang pekerja kontrak ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih di sebuah jeti di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Ahmad Jawila dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, mangsa bersama 10 pekerja lain sampai ke jeti berkenaan kira-kira pukul 6.00 pagi untuk kerja-kerja pemasangan perancah di bahagian bawah jeti.

Kira-kira pukul 11.35 pagi, rakan mangsa mendapati mangsa tiada di tempat kejadian dan hanya melihat topi keledar keselamatan milik mangsa terapung di permukaan air.

Rakannya cuba mencari mangsa di kawasan sekitar, namun gagal menemukannya, sebelum dia naik ke jeti dan membunyikan siren kecemasan.

Susulan kejadian itu, pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Lelaki berusia 27 tahun itu berjaya ditemukan di dasar laut di bawah jeti tersebut sekitar pukul 1.21 tengah hari.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik untuk tindakan lanjut.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

(Pasukan penyelamat JBPM Labuan dan PDRM melakukan operasi SAR susulan kehilangan
seorang pekerja kontrak di perairan Labuan)

Media Baharu