SUNGAI PETANI, 14 Mei- Seorang pekerja kilang maut selepas dirempuh dua buah kereta dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 68, Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat Sungai Petani, Kedah lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu, mangsa, Mohd Faiz Samsudin, 30 tahun dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke Sungai Petani.
"Ketika tiba di lokasi, mangsa telah melanggar wayar lampu jalan yang melintangi jalan menyebabkannya terbabas di tengah jalan.
"Dua buah kereta yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di tengah jalan raya," kata Wan Azharuddin.
Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan dibahagian kepala dan badan.
Mangsa yang berasal dari Kampung Baru, Kota Kuala Muda disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu kedua-dua kenderaan masing-masing berusia 29 dan 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas dan menyebabkan berlaku kemalangan," katanya lagi.
Bagaimanapun pihaknya sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka pengguna jalan raya lain untuk membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.