IPOH, 14 Mei- Jenazah Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Ipoh pada 4.50 pagi.
Allahyarham, 33, dikebumikan berdekatan pusara arwah bapanya, Abd. Latif Saad mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lebih 100 orang dalam kalangan anggota keluarga, sanak-saudara dan kenalan hadir mengiringi pengebumian Allahyarham.
Turut memberi penghormatan terakhir Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
Insiden pada kira-kira 8.50 pagi semalam, membabitkan sembilan anggota pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban apabila kenderaan yang dinaiki dirempuh lori membawa muatan batu di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Langkap.
Kejadian berlaku ketika kenderaan yang dinaiki kesemua anggota berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menyelesaikan satu tugasan di Teluk Intan.
Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.