KUALA LUMPUR, 14 Mei- Malaysia dijangka berpeluang memperoleh hasil rundingan terbaik bersama Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif import timbal balik.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA), Putra Bussiness School (PBS), Prof. Dr Ahmed Razman Abdul berkata persetujuan AS-China menurunkan sejumlah besar kadar tarif itu bagi tempoh 90 hari memberi keyakinan kepada Malaysia di meja rundingan sekali gus memastikan kadar tarif tersebut dapat diturunkan ke tahap minimum.
"Pada masa sama, kita tidak boleh bergantung harap kepada keputusan rundingan dengan mereka semata-mata. Saya melihat pelbagai strategi jangka masa pendek dan panjang harus terus dilaksanakan.
"Perkara itu seperti meneruskan pelbagai kerjasama antara negara-negara terlibat dengan segala perjanjian unilateral dengan antarabangsa yang telah kita meterai sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM.
Menurut Prof. Dr Ahmed Razman Abdul tumpuan perlu diberi dalam soal memperkasakan ekonomi domestik, meningkatkan aktiviti perdagangan serta aktiviti permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
Selain itu memastikan kesinambungan dan kemampanan perusahaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) agar tidak terkesan dengan pelaksanaan tarif yang bakal dikenakan Amerika Syarikat tidak lama lagi.