KUALA LUMPUR, 9 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan kawalan keselamatan di fasiliti gas asli cecair (LNG) milik Petronas di Bintulu, Sarawak susulan laporan ugutan diterima seorang pegawai syarikat itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pegawai terbabit mendakwa menerima beberapa ugutan berulang kali melalui SMS daripada individu tidak dikenali sebelum membuat laporan polis.
“Seorang pegawai Petronas dilaporkan menerima beberapa ugutan melalui SMS daripada individu tidak dikenali sebelum membuat laporan polis. Sehubungan itu, Petronas dinasihatkan mempertingkat kawalan keselamatan di fasiliti masing-masing.
“Polis turut memberi jaminan bantuan di semua kontinjen bagi memastikan keselamatan fasiliti Petronas serta perkara berkaitan dapat diuruskan dengan baik demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Derma Darah sempena sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, hari ini.
Semalam, Berita RTM melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi kenyataan mengesahkan kawalan di fasiliti pengeluaran LNG di Bintulu diperketatkan susulan ancaman keselamatan yang diterima.
MKN menjelaskan, tindakan serta-merta itu diambil bagi membolehkan pihak keselamatan bersama agensi bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman berkenaan.
Terdahulu, seramai 257 pegawai serta anggota PDRM menderma darah dalam program anjuran PDRM dengan kerjasama Pusat Darah Negara sempena sambutan Hari Polis ke-218.