KUALA LUMPUR, 9 September - Sesi ujibakat program Junior Innovation anjuran bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan membuka peluang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menampilkan idea serta produk inovasi mereka.
Menurut Ketua Juri Peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor, Prof. Madya Dr Mazlina Mohd Said, program ini bukan sahaja melatih pelajar untuk mencetuskan idea kreatif berasaskan teknologi, malah menjadi landasan untuk memupuk keyakinan bagi menyampaikan hasil kerja mereka.
“Dalam program ini kita lihat pada dua kriteria utama pertama dari segi inovasi yang ada asas saintifik dan teknikal, dan kedua dari segi kreativiti serta keyakinan dalam menyampaikan idea,” kata beliau ketika ditemui selepas sesi ujibakat program Junior Innovation di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Penerbit program, Mohan Chinnasamy turut menjelaskan bahawa Junior Innovation bukan sekadar pertandingan, sebaliknya sebagai platform untuk melahirkan pelajar berwawasan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Program ini merupakan cetusan idea kepada para pelajar bagaimana menghasilkan produk berasaskan teknologi yang boleh membawa anjakan paradigma dalam masyarakat moden,” kata beliau.
Tambahnya, program ini diyakini bakal melahirkan idea-idea baharu yang berpotensi dikembangkan menjadi solusi kepada cabaran masyarakat moden.
Pertandingan tersebut menghimpunkan hampir 70 buah sekolah daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Program Junior Innovation akan berlangsung bermula pada 12 Oktober 2025 dan disiarkan setiap minggu sehingga episod keenam pada 16 November 2025.
Pemenang bagi setiap episod akan mara ke episod enam bagi setiap kategori iaitu kategori sekolah rendah dan kategori sekolah menengah.
Kesemua peringkat tersebut akan berlangsung di Angkasapuri Kota Media dan akan disiarkan di saluran TV1 dan RTMKlik pada pukul 9 malam.
Dalam pada itu, ujibakat Junior innovathon di seluruh negara kini memasuki hari ke sembilan.
Hari ini dan esok, ujibakat tersebut berlangsung di Kuala Lumpur, Melaka serta Negeri Sembilan dan akan berakhir di Sarawak.