KOTA KINABALU, 9 September - Tiada kesan lebam mahupun tanda penderaan ditemukan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina, ketika pemeriksaan pasukan perubatan pada 16 Julai lepas.
Perkara itu dimaklumkan pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth, Dr Janefer Voo yang juga saksi ketiga kepada Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di sini.
Dr Janefer berkata pelajar itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun kecederaan tidak diketahui pada ketika itu.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan pelajar itu disyaki mengalami kecederaan otak yang serius selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.
"Pelajar itu juga cedera pada bahagian belakang kepala dan patah tulang pada buku lali serta pergelangan tangan kiri," katanya pada hari keempat prosiding inkues kematian Zara.
Saksi memberitahu prosedur resusitasi dan pengimejan turut dilaksanakan terhadap Zara.
Saksi turut menerima beberapa soalan daripada peguam dilantik mewakili keluarga Zara dan peguam remaja lain yang terlibat.
Mahkamah menangguhkan prosiding selepas saksi ketiga selesai memberi kenyataan.