fb fb fb fb fb

Pegawai pertanian maut, seorang cedera parah dalam nahas di LPT2

Foto Fail

DUNGUN, 13 Julai- Seorang pegawai pertanian maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kereta di Dungun, Terengganu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kejadian tersebut.
 
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun (HD) untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera parah diberikan rawatan kecemasan di hospital sama.
 
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.00 pagi di Kilometer 10, Jalan Paka - Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah, berdekatan persimpangan lampu isyarat ke Plaza Tol Paka, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
  
"Dalam kejadian itu, mangsa, Nazirah Abdul Rahman, 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian anggota badan.
 
Seorang lagi mangsa, Anas Firdaus Lazam, berumur 43 tahun pula dilapor mengalami kecederaan parah dan patah kaki kiri," kata Superintenden Maizura kepada pemberita ketika dihubungi.
 
Ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Pusat Pertanian Hulu Paka dikatakan sedang dalam perjalanan dari Bandar Paka ke tempat kerjanya.
 
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta yang datang dari arah bertentangan dipercayai terbabas di satu selekoh sebelum bertembung dengan kereta jenis sama dipandu mangsa.
 
Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka kira-kira 15 minit kemudian.
 
Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM