fb fb fb fb fb

Kemudahan pendidikan, masjid, rumah ibadat, infrastruktur dilaksanakan di Sg. Petani

Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Medan Selera , Jalan Dewa, Sg Petani/ Foto FB Taufik Johari

SUNGAI PETANI, 13 Julai - Kemudahan pendidikan, surau dan masjid serta rumah ibadat bukan Islam antara infrastruktur yang dilaksanakan di Parlimen Sungai Petani pada tahun ini.

Peruntukan disalurkan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohamad Taufiq Johari berkata peruntukan sebanyak RM1 juta melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan RM2 juta melalui Projek Mesra Rakyat membolehkan projek tersebut dilaksanakan.

Sehingga kini, terdapat projek yang telah siap dan projek yang masih dalam pembinaan.

"Parlimen Sungai Petani menumpukan projek infrastruktur projek Pendidikan dan rumah ibadat, masjid dan surau iaitu antara penekanan lebih pada 60 peratus diberikan kepada sekolah, masjid, surau dan juga rumah ibadat bukan Islam. Sebab sekolah... pendidikan ini bagi saya adalah penting, anak-anak kita, guru-guru mendapatkan fasiliti yang terbaik.

"Kita pastikan sekolah sekolah di luar bandar juga dapat menikmati fasiliti-fasiliti yang canggih dan sesuai dengan peredaran zaman sekarang", katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Medan Selera, Jalan Dewa, Sungai Petani.

Projek tersebut turut melibatkan pembaikan jalan, baik pulih longkang, kemudahan asas kepada masyarakat dan pembinaan gelangang bola keranjang.

Projek berjumlah RM250,000 disalurkan ICU JPM Negeri Kedah itu bagi membina penyedut udara dan kemudahan asas yang lain untuk keselesaan peniaga dan pengunjung ke medan selera tersebut.

ROSLINA BINTI DIN