AUCKLAND, 13 Julai - Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan diplomatik dengan New Zealand yang terjalin sejak 68 tahun lalu menerusi lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki berkata, lawatan selama lima hari bermula esok tertumpu kepada beberapa bidang utama antaranya pertahanan, pendidikan, pertanian, industri halal dan kerjasama strategik.
"Lawatan ini dilihat amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025. Ia memberi peluang kepada Malaysia untuk berkongsi pencapaian awal, hala tuju, serta keutamaan bawah tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' dalam kerangka serantau ASEAN. Lawatan ini sekali gus mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh hubungan diplomatik, mempromosi kepentingan nasional, serta mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dengan New Zealand", katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Antara pengisian utama lawatan ialah pertemuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dengan Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro; serta Timbalan Perdana Menteri New Zealand, David Seymour dan Menteri Pembangunan Māori, Tama Potaka.
Timbalan Perdana Menteri juga dijadual menyertai beberapa acara penting, termasuk Forum Halal anjuran Kementerian Industri Utama New Zealand, serta sesi libat urus bersama peneraju industri dan perniagaan New Zealand.
Selain itu, beliau dijadual melawat Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan, serta menyertai sesi meja bulat bersama komuniti Māori di Rotorua.
Kali terakhir pemimpin tertinggi Malaysia melawat New Zealand ialah pada Mac 2005, iaitu ketika Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.