fb fb fb fb fb

Labuan siap sedia sambut Borneo Flora Festival 2025

Sukarelawan Borneo Flora Festival 2025 sedang memindahkan benih pokok bunga

LABUAN, 13 Julai - Pembersihan kawasan, penyediaan kemudahan awam di bandar serta penambahbaikan sistem pengangkutan merupakan antara inisiatif utama menjelang minggu terakhir persiapan Borneo Flora Festival (BFF) 2025 yang akan berlangsung di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abd Rahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselesaan dan keseronokan pengunjung, khususnya pelancong yang hadir ke pulau berkenaan sempena festival tersebut.

"Kita akan membersihkan kawasan seluruh Labuan bagi menyambut kedatangan pengunjung.

"Persediaan melibatkan 27 kampung serta lebih 10 kawasan tumpuan awam di bandar," katanya kepada media selepas meninjau persiapan festival di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Mengulas isu pengangkutan, beliau memaklumkan bahawa tiket feri bagi laluan Kota Kinabalu-Labuan sepanjang tempoh festival telah habis dijual, menunjukkan sambutan luar biasa daripada orang ramai.

“Kita telah minta operator menambah kekerapan perjalanan harian termasuk laluan ke Menumbok, Sipitang, dan Brunei,” jelasnya.

Seramai 2,000 sukarelawan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja persiapan, termasuk pemindahan lebih 200,000 benih pokok bunga semusim yang telah disemai untuk memeriahkan festival berkenaan.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI