JERLUN, 13 Julai – Program memasak bubur Asyura Durian Musang King MADANI dilihat sebagai medium penyatuan komuniti sekitar kawasan Jerlun.
Pengerusi Penganjur, Mohamad Rudzi Samsudin berkata, buktinya program berkenaan disertai penduduk dari 18 kampung di daerah itu.
Kelainan tahun ini menggunakan ramuan unik iaitu durian jenis musang king, duri hitam dan telur buaya dimasukkan sebagai bahan utama, selain ubi, jagung dan kekacang.
"Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat gotong-royong, malah turut menjadi platform meraikan golongan kurang berkemampuan.
"Ia akan memberi peluang kepada golongan ini untuk menikmati keenakan durian kerana harganya yang tinggi.
"Program yang diadakan setiap tahun ini dilihat memperkukuh hubungan silaturahim menerusi kerjasama dan gotong-royong pada program berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sebanyak dua kawah bubur dimasak menggunakan kira-kira lapan kilogram tepung, dengan anggaran kos durian sahaja mencecah RM1,000.
Tambah Mohamad Rudzi, inisiatif itu akan terus diperkasa sebagai acara tahunan dalam takwim komuniti, selaras dengan hasrat memperkukuh perpaduan serta menyemai nilai-nilai MADANI dalam kehidupan bermasyarakat.
Program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan penduduk, termasuk belia dan warga emas yang turut serta dalam proses penyediaan bubur secara bergotong-royong.