KUALA LUMPUR, 22 September - Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluahkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyasaran subsidi petrol RON95 melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Ia mampu meringankan beban penjawat awam serta mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat.
Penolong Penguasa Polis (ASP) S. Vishvamalar A. Sirosagee berkata, BUDI95 jelas mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan kestabilan kos sara hidup.
"Inisiatif ini menjadi inspirasi kepada kami di perkhidmatan awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti demi pembangunan negara. Terima kasih atas keprihatinan serta kasih sayang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Inspektor Mohamad Faiz Ismail berkata, pengumuman itu dinantikan penjawat awam.
"Saya mewakili anggota PDRM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri. Subsidi BUDI95 ini diharapkan dapat meringankan beban penjawat awam," katanya.
Bagi Inspektor Nik Mohamad Afif Al-Aziz Mohamad Yusof pula, langkah itu melambangkan iltizam kerajaan dalam membela kebajikan rakyat.
"Langkah ini menyuntik semangat kepada kami sebagai penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan tekun, berintegriti dan berjiwa rakyat demi kemakmuran negara. Terima kasih Perdana Menteri," ujarnya.
Pelaksanaan program BUDI95 akan bermula pada Sabtu ini kepada 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada seluruh warganegara.
Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan semua rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter sehingga 300 liter seorang setiap bulan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).