fb fb fb fb fb

Kampung Angkat Madani: Kerajaan, GLC ganding bahu perkasa luar bandar

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto BERNAMA

BALIK PULAU, 22 September - Kira-kira 200 kampung di seluruh negara dipilih sebagai Kampung Angkat Madani dengan peruntukan RM200 juta bagi memperkasa taraf hidup masyarakat luar bandar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata inisiatif itu memberi peluang kepada kementerian untuk terlibat secara langsung bersama penduduk kampung angkat masing-masing, selain melaksanakan pembangunan berdasarkan cadangan komuniti setempat.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, GLIC dan GLC turut digerakkan bagi memastikan impak pembangunan lebih signifikan.

“Program Kampung Angkat Madani tahun ini memperuntukkan kira-kira RM200 juta untuk 200 kampung.

"Ada kementerian yang boleh menggunakan penjimatan masing-masing untuk menambah peruntukan, selain digabungkan dengan program CSR agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Justeru, apa yang sampai kepada kampung lebih besar daripada peruntukan asal kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kampung Angkat Madani Pulau Betong, di sini.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan di Kampung Angkat Madani Kementerian Kewangan di Pulau Betong, termasuk menaik taraf jeti nelayan, pembinaan pusat penjaja, ruang parkir, dewan, perpustakaan, dataran rekreasi dan masjid.

Menurutnya, Pulau Betong mempunyai potensi sebagai kawasan pelancongan sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

“Beberapa kawasan telah dicantikkan supaya lebih mesra peniaga dan menarik perhatian pelancong. Ini bukan sekadar memberi manfaat kepada infrastruktur, tetapi turut merancakkan peluang perniagaan penduduk.

“Kita mahu suasana lebih ceria dan selesa, contohnya dengan membina bumbung baharu di jeti serta kemudahan lain yang boleh menarik orang ramai untuk berkunjung,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD