KUALA LUMPUR, 22 September - Malaysia dan Finland akan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang ekonomi hijau, inovasi teknologi dan hubungan dua hala yang semakin berkembang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran Facebook memaklumkan perkara itu selepas beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara, pagi tadi.
"Sejurus selepas itu, saya mempengerusikan mesyuarat bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan syarikat ReOrbit Oy dari Finland untuk membincangkan hala tuju kerjasama dalam bidang kejuruteraan satelit serta teknologi angkasa.
"Gabungan kepakaran global ReOrbit dengan kekuatan akademik UniKL akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau inovasi satelit, di samping melahirkan bakat tempatan yang mampu memacu ekonomi angkasa negara," menurut hantaran itu.
Datuk Seri Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa, UniKL MIAT juga akan menubuhkan Jabatan Teknologi Satelit dengan penglibatan Profesor Pelawat dari Finland dan ReOrbit untuk bersama mempengerusikan jabatan itu.
"Langkah ini turut membuka peluang latihan kepakaran kepada pensyarah dan pelajar di Finland, sekali gus memperkukuh ekosistem teknologi satelit negara.
"Insya-Allah, usaha ini akan menjadi pemangkin transformasi teknologi tinggi yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan masa depan negara," katanya.