JOHOR BAHRU, 22 September - Sistem Pusat Aduan Bersepadu yang dibangunkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), mampu mengesan lokasi aduan dibuat, dengan hanya memuat naik gambar isu berkaitan di sistem tersebut.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sistem tersebut boleh digunakan untuk melapor pelbagai jenis aduan, seperti kerosakan infrastruktur.
"Pengguna boleh memuat naik gambar dan google map akan mengesan kedudukannya. Selepas dia boleh terus hantar maklumat aduan itu terus kepada command centre, pusat aduan setempat. Dalam masa sama IO (pegawai penyiasat) yang bertugas, akan turun ke lapangan, tengok keadaan kawasan itu. IO akan mengambil gambar dan kongsi semula kepada pengadu", katanya kepada media dalam Majlis Perasmian Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 di Johor Bahru.
Aduan yang dikemukakan menerusi sistem itu akan dijawab dalam tempoh 24 jam.
Sistem yang dibangunkan sebagai aplikasi di telefon pintar, dijangka akan dilancarkan pada November ini.