KUALA LUMPUR, 22 September - Pemilik MyKad yang mengalami kerosakan cip boleh membuat penukaran secara percuma di semua pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara bermula esok hingga 7 Oktober depan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan, kemudahan itu diberikan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Perkara itu bagi memastikan rakyat tidak terjejas dalam menikmati manfaat subsidi berkenaan hanya kerana masalah teknikal MyKad.
"Kerajaan MADANI menanggung sepenuhnya kos penukaran cip rosak ini bagi memastikan setiap warganegara layak dapat mengakses subsidi bersasar BUDI95 dengan lancar," menurut kenyataan itu.
Rekod JPN menunjukkan sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, dengan jumlah permohonan mencatat peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan.
Sebanyak 32,819 permohonan dicatat pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai, dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos, manakala bagi September sehingga 21 haribulan sahaja, sebanyak 22,858 permohonan diterima.
Berdasarkan purata permohonan dua bulan terkini, iaitu sekitar 43,000 sebulan, kerajaan menganggarkan perbelanjaan bagi tempoh penukaran percuma ini mencecah RM714,660 termasuk kos berkaitan.
Datuk Seri Saifuddin menyeru rakyat agar sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk penyasaran subsidi BUDI95.