KEMAMAN, 11 Januari- Seorang bekas banduan ditahan selepas didakwa melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan taman perumahan di sekitar Kemaman, Terengganu, sejak Julai tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah melibatkan kerugian kira-kira RM120,000.
Jelas beliau, suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada Ahad lalu hasil risikan selepas pihaknya menerima rakaman video berkenaan aktiviti suspek daripada seorang saksi.
"Suspek menjadikan kegiatan tersebut sebagai hobinya, dia menyasarkan kawasan perumahan di Kampung Gong Pauh dan Gong Limau.
Kebanyakan barang yang dicuri suspek adalah untuk kegunaan sendiri, namun dipercayai telah dijual untuk menampung kehidupan seharian," katanya.
(Superintenden Hanyan Ramlan, Ketua Polis Daerah Kemaman)
Tambah beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain bertindak membeli barangan yang telah dicuri oleh suspek.
Suspek telah direman sehingga esok bagi membantu siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah.