KUALA LUMPUR, 11 Januari- Lembaga Tabung Haji (TH) merangkul Anugerah Labaittom daripada Kerajaan Arab Saudi bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar yang mewakili TH menerima anugerah tersebut berkata, ia merupakan pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.
Jelas beliau, pengiktirafan antarabangsa itu diperoleh selepas TH membuktikan keupayaan membimbing jemaah haji Malaysia menerusi program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran.
"Setiap tahun, TH menganjurkan kursus-kursus haji di tanah air secara fizikal dan dalam talian di samping menyediakan para pembimbing ibadat haji untuk sesi bimbingan di tanah suci semasa menunaikan ibadah itu," katanya.
(Datuk Mohd Naim Mokhtar mewakili TH menerima anugerah tersebut
di Jeddah, Arab Saudi / Foto Facebook Dato' Setia Dr. Na'im)
Turut hadir semasa penyampaian anugerah tersebut ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pegawai TH di Arab Saudi.
Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 disertai 56 buah negara termasuk Malaysia yang diwakili oleh TH.