KUALA LUMPUR, 25 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam negara.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, melangkah ke 215 tahun usia penubuhan PDRM hari ini, seluruh warga pasukan memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan Negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara, terus terpelihara.
Jelasnya, seluruh warga PDRM akan melaksanakan tugas secara profesional dan terus memperkasakan integriti demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berucap sempena
sambutan Peringatan Hari Polis ke 215 di PULAPOL, Kuala Lumpur)
"Dengan mengekalkan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, seluruh warga PDRM sentiasa “Sedia Berkhidmat” dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara", katanya ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke 215 di Pusat Latihan Polis ( PULAPOL), di sini hari ini.
"Segala pengorbanan, jerih perih dan titisan darah pahlawan-pahlawan terdahulu, demi nikmat keamanan yang dikecapi kini, akan terus kami perjuangkan dan diwariskan pula kepada generasi pelapis Sang Saka Biru akan datang", katanya.
Perbarisan sempena sambutan Peringatan Hari Polis kali ini melibatkan kekuatan 629 pegawai dan anggota.
Selain itu, terdapat juga detachment kenderaan dipamerkan secara statik dan turut dimeriahkan dengan acara fly pass melibatkan tiga buah pesawat udara milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM.