LANGKAWI, 25 Mac - Menjelang pembukaan semula sempadan negara minggu depan, bilangan pegawai dan anggota polis di beberapa lokasi tumpuan di Langkawi, Kedah bakal ditambah bagi menerima kehadiran pelancong antarabangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah, ACP Shariman Ashari, peletakan anggota tambahan akan dibuat bermula 1 April.
(Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari)
"Kita memang akan letakkan anggota tambahan untuk bertugas meronda di kawasan tumpuan ramai, tumpuan pelancong bagi memastikan pelancong selesa dan selamat dengan kehadiran polis.
"Kita juga akan buat pemantauan di kawasan tumpuan ramai bagi memastikan pematuhan SOP terus dilaksanakan oleh pelancong", katanya dalam sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke 215 di Ibu pejabat Polis Daerah Langkawi.
Sebelum ini, Langkawi juga telah dipilih oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menjadi lokasi rintis Gelembung Pelancong Antarabangsa (LITB) bermula hujung tahun lalu.