fb fb fb fb fb

PDRM sentiasa dukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited berkhidmat memikul mandat dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan mengekalkan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, mengajak seluruh anggota Sang Saka Biru untuk melaksanakan tugas secara profesional dan terus memberikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tadbir urus yang baik demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Menerusi perutusan sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 pada tahun ini, Tan Sri Razarudin turut menzahirkan kesediaan untuk mengerah segala kudrat dan keringat dalam mendukung dasar-dasarl kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

PDRM juga menzahirkan penghargaan tertinggi kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta semua pihak yang sentiasa menyokong PDRM selama ini.

Beliau berharap agar hubungan baik serta jalinan kerjasama erat itu dapat terus diperkukuh demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.

Razarudin turut berkongsi rasa berbangga dengan pasukannya yang diangkat sebagai wira-wira negara yang menjadi tunjang utama kekuatan PDRM.

Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, beliau turut mengajak seluruh warga PDRM untuk pasakkan tekad dan bulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta.

TETITIA YUSOFF