fb fb fb fb fb

PDRM rakam ucapan tahniah kepada Perdana Menteri ke-10

KUALA LUMPUR, 24 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

PDRM sebagai institusi keselamatan negara akan terus memberi komitmen untuk memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin bawah pentadbiran Perdana Menteri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan meminta kerjasama semua pihak menerima baik proses demokrasi tanpa mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat terutama dalam proses peralihan kepimpinan kerajaan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang mencetuskan provokasi atau membangkitkan isu perkauman dan agama.

"Orang ramai diminta tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka dalam masa terdekat, demi keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pengguna dan pemilik akaun media sosial turut dinasihatkan supaya menjaga adab dan tingkah laku dalam mengeluarkan sebarang paparan yang boleh mencetuskan kegusaran masyarakat di negara ini," katanya.

"PDRM akan kekal komited memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang, demi kesejahteraan masyarakat serta negara," tambah beliau.

(Foto fail)

 

 

Media Baharu