fb fb fb fb fb

Anwar umum Isnin cuti peristiwa

(Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

KAJANG, 24 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 November ini sebagai cuti peristiwa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, perkara tersebut sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Sebelum ini, saya janjikan cuti pada Isnin (21 November), namun kita tidak dapat bereskan (tubuhkan kerajaan) dan (kini) kita sudah bereskan, Alhamdulillah.

"Saya sudah bincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dengan Yang di-Pertuan Agong kerana saya sudah janji untuk beri cuti dan dianjak kepada Isnin depan" katanya pada sidang media di Sungai Long Club House, di sini.

Dalam sidang media sama, Anwar memberitahu kerajaan perpaduan nasional yang dibentuk hari ini membabitkan penyertaan tiga komponen utama setakat ini.

Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga gabungan itu membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Saya tetap bersedia menerima semua yang lain. Saya menunggu kesediaan rakan-rakan termasuk Perikatan Nasional (PN) walaupun kenyataan Pengerusi PN peringkat awal tidak memberangsangkan," jelas beliau lagi.

(Sidang media khas Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)

Media Baharu