KUALA LUMPUR, 5 Januari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke daerah Segamat, Johor untuk operasi pembersihan pascabanjir.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, keseluruhannya enam agensi terlibat dalam Op Banjir di daerah tersebut.
"Selain PDRM yang menghantar 377 anggota, ATM melibatkan kekuatan 57 anggota, Jabatan Bomba dan Penyelamat 25 anggota serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 15 anggota.
"Turut terlibat RELA dengan 23 anggota serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia 10 anggota," katanya dalam kenyataan hari ini.
Acryl Sani berkata, PDRM bersama agensi keselamatan lain sedang mengambil tindakan segera di Segamat dan beberapa lokasi terjejas banjir di Johor bagi memindahkan mangsa ke tempat ditetapkan.
"Sebuah helikopter milik PGU juga akan digunakan bagi menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air," menurut kenyataan sama.
Setakat tengah hari ini, terdapat 79 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Johor, menempatkan seramai 5,396 penduduk terjejas di Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Batu Pahat dan Muar.