fb fb fb fb fb

PDRM diseru tambah baik integriti jabatan - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim

BANDA HILIR, 9 Februari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru untuk menambahbaik peranan dalam mengembalikan integriti agensi keselamatan serta menjaga keamanan negara kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PDRM memerlukan ketangkasan dan kecekapan pegawai lebih profesional untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kelompok kecil yang merosakkan imej pasukan keselamatan itu.

"Pasukan keselamatan dan PDRM memerlukan pegawai yang lebih profesional untuk mengelak daripada kelompok kecil merosakkan imej dan integriti polis, Ketua Polis Negara beberapa hari yang lalu memang menyergah kuat pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam beberapa kes rasuah, salah guna kuasa.

"Makluman itu hanya jumlah kecil, namun ia tetap memberikan imej buruk kepada PDRM keseluruhannya. Jadi saya minta kerjasama pasukan polis semua peringkat untuk perbaiki dan cuba ubah imej sistem di negara kita ini," katanya dalam ucapan selepas melawat IPD Melaka Tengah di sini.

Dalam pada itu cadangan pemindahan bangunan sementara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke Kompleks Wisma Wawasan atau Wisma Amanah di Batu Berendam, Anwar bersetuju dengan perkara itu dan memberi tempoh dua minggu kepada pihak terlibat untuk menyerahkan segala dokumen penyerahan berkaitan kepadanya.

Perkara itu bagi mempercepatkan urusan pembinaan baru IPD Melaka Tengah berikutan kekangan ruang terhad dan tidak mampu menampung jumlah kekuatan keanggotaan dan keperluan logistik. Ia juga menyebabkan bahagian-bahagian lain terpaksa ditumpangkan ke bangunan-bangunan lain.

Pembinaan segera bangunan baru IPD itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada anggota PDRM malah kepada orang awam juga. 

"Jadi kita setuju dengan cadangan untuk segera IPD ini dipindahkan ke Wisma Wawasan atau Wisma Amanah dan dalam tempoh dua minggu. Kalau dalam tempoh dua minggu serah tanah ini kepada kerajaan negeri dan ambil alih dengan harga yang munasabah," katanya.

Tahun ini beliau juga menumpukan perumahan penjawat awam yang perlu dibaiki khususnya perumahan polis, tentera, guru dan lain-lain.

Sementara itu, Anwar turut mengambil kesempatan, melawat ikon pelancongan Melaka, Jonker Walk diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempat mengambil gambar bersama replika naga yang berukuran 200 meter yang menjadi tarikan sempena Tahun Baharu Cina di Melaka.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI