fb fb fb fb fb

Bilangan penganggur menurun kepada 567,800 orang - DOSM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Bilangan penganggur terus menurun kepada 567,800 orang pada Disember 2023, dengan kadar pengangguran 3.3%.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan berkata trend guna tenaga yang positif dilihat pada bulan terakhir tahun 2023 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

"Justeru, kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh trend yang positif dalam penduduk bekerja dan serentak dengan penurunan dalam bilangan penganggur."

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1% bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang," kata kenyataan itu.

Bilangan penduduk bekerja terus berada pada trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan.

Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja terutamanya dalam aktiviti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman, pengangkutan dan penyimpanan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM