ARAU, 9 Februari- Kenaikan harga bawang merah di Perlis tidak terlalu ketara sehingga membebankan pengguna khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Setakat ini, harga bawang merah di peringkat pemborong dan peruncit yang direkodkan adalah antara RM7.00 sehingga RM10.00 bagi sekilogram.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norazah Jaapar berkata situasi itu adalah berikutan negara India yang mengambil tindakan menghentikan pengeksportan bawang merah sehingga Mac depan.
Bagaimanapun, bekalan bahan mentah berkenaan masih mencukupi dan stabil, memandangkan negeri itu mempunyai sumber bekalan dari beberapa negara lain.
"Pengguna juga perlu faham situasi semasa bekalan bawang merah di negara. Bagaimanapun, sumber bekalan dari beberapa negara lain seperti Pakistan dan Vietnam antara langkah untuk menampung bekalan sedia ada."
"Jadi, boleh memanfaatkan bekalan bawang yang ada, dalam masakan. Isu bekalan ini sebenarnya berpunca apabila India menyekat bekalan bawang sementara sehingga bulan Mac ini," kata Norazah kepada pemberita selepas pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 di Pasaraya C-Mart di Arau, Perlis.
Pelaksanaan SHMMP pada kali ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 6 sehingga 14 Februari melibatkan 11 jenis barangan terpilih di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.