AYER KEROH, 13 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan anggotanya di 30 lokasi panas di seluruh negara yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sepanjang Tahun Baru Cina.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 6,559 anggota trafik yang akan ditugaskan dalam OP Selamat 19 sempena Tahun Baru Cina 2023 bermula 18 Januari hingga 27 Januari.
Jelasnya, selain anggota trafik turut terlibat adalah seramai 5,875 anggota unit rondaan bermotosikal (URB) dan anggota peronda peronda (MPV) dalam OP tersebut.
Antara kawasan yang terlibat ialah di Hentian Rehat Sungai Bakap, Hentian Rehat Rawang, Hentian Rehat Temerloh, Hentian Rehat Gambang, Plaza Tol Jalan Duta dan Kilometer 225 Lebuhraya PLUS bagi memantau keselamatan pengguna jalan raya serta aliran trafik berjalan lancar.
"Elak melakukan enam kesalahan terutamanya memandu dalam keadaan laju, bercakap menggunakan alat komunikasi semasa
memandu.
"Selain itu, memotong garisan berkembar, menggunakan laluan kecemasan dan memotong barisan. Kesabaran perlu ditingkatkan semasa memandu semasa musim perayaan ini. Kita anggarkan
berjuta kenderaan di jalan raya terutamanya pada 19 hingga 24 Januari," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran OP Selamat 19 Sempena Tahun Baru Cina 2023 di Jejantas Ayer Keroh, di sini.
PDRM juga fokus untuk mencegah jenayah pecah rumah sepanjang perayaan menerusi OP tersebut selain meminimumkan kemalangan jalan raya.
(Tan Sri Razarudin Husain)