fb fb fb fb fb

Dasar pelaksanaan rangkaian 5G akan dibentang

KOTA BHARU, 13 Januari- Dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum penghujung suku pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, setakat ini kementerian itu telah bertemu dengan Kementerian Kewangan, pengendali syarikat komunikasi dan DNB untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.

"Saya akan bentangkan kepada jemaah menteri dan saya percaya pihak kerajaan akan umumkan dasar berhubung pelaksanaan rangkaian 5G," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama warga KKD Kelantan di Jabatan Penyiaran Kelantan Wakaf Che Yeh di Kota Bharu, di sini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi DNB Nasution Mohamed dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai hampir 50% melepasi sasaran awal iaitu 40%.

Fahmi turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 50 warga KKD terjejas banjir termasuk ahli Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI).

(Fahmi Fadzil)

Media Baharu