KLANG, 26 September - Pihak Berkuasa Tempatan, PBT di Selangor bersiap sedia menggerakkan anggota dan aset ke kawasan berisiko banjir.
Ini bagi menghadapi peralihan monsun yang bermula sejak dua hari lalu hingga awal November depan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, parameter ketika banjir besar pada tahun 2021 menjadi panduan pentadbiran, bagi memastikan tindakan pantas dan lancar
"Saya sudah minta segera untuk meningkatkan kawalan terhadap kawasan yang berisiko, malah ketika dialog belanjawan saya sebutkan benda tersebut alhamdulillah unit kita cepat bergerak."
"Cuma kita nak pastikan ada langkah-langkah kawalan sebelum berlaku banjir seperti peningkatan usaha untuk membaiki atau menaiktaraf kawasan saliran tertentu." katanya.
Jelas beliau, Pusat Pemindahan Sementara pula sentiasa bersedia untuk kembali beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas sekiranya berlaku banjir.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di sini.
Sementara itu, mengenai beberapa kawasan sekitar Kota Kemuning dan Jalan Kebun, Shah Alam dilanda banjir kilat semalam, beliau berkata, taburan hujan tinggi sekitar 119 milimeter menjadi punca banjir di kawasan berkenaan.