fb fb fb fb fb

Malaysia-China meterai MoU dalam bidang media, penyiaran

Fahmi Fadzil

BEIJING, 26 September- Malaysia dan China menandatangani memorandun persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama dalam bidang media dan penyiaran.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, usaha berkenaan diharap memberikan pulangan yang baik kedua-dua kementerian selain merapatkan hubungan Malaysia-China.

"Kita telah menandatangani MoU ini antara Kementerian Komunikasi dan juga National Radio and Television Administration (NRTA). Kta harap hasil daripada MoU ini akan ada beberapa aktiviti program kerjasama lebih erat antara kedua-dua kementerian dan hasilnya nanti dapat kita siarkan menerusi RTM.

"...dan ini akan merapatkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan China di sini.

Fokus kandungan yang diberi keutamaan ialah budaya, pelancongan dan makanan kedua-dua negara.

"Selain itu saya minta pihak RTM meneruskan perbincangan dengan agensi yang sejawat dengan RTM supaya kita boleh mempromosikan ASEAN.

"...dan mengambil kesempatan dengan menonjolkan Malaysia termasuk kepada para penonton di negara China seiring dengan program Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti," katanya.

Fahmi memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke China, dan ini merupakan lawatan sulungnya ke negara itu sejak dilantik sebagai Menteri Komunikasi pada Disember 2022.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau berharap kehadirannya dan delegasi di China menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan lagi sektor telekomunikasi dan teknologi.

"...banyak potensi dari segi teknologi untuk digunakan di Malaysia. Saya harap dengan keberadaan saya dan delegasi ia akan dapat menjadi pemangkin kepada usaha terutama dalam sektor telekomunikasi.

"...atau teknologi-teknologi baru seperti satelit. Ini yang saya rasa kita perlukan untuk meningkatkan kesalinghubungan di Malaysia," katanya lagi.

Fahmi juga akan meneruskan mesyuarat dua hala bersama-sama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanlong, pada sebelah petang.

Pada Jumaat beliau dijadualkan bertemu dengan pengurusan China Media Group (CMG) dan syarikat teknologi satelit China, Geespace, serta menyaksikan perjanjian usaha sama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Altel.

Sementara itu pada hari terakhir lawatan, Fahmi dijadualkan menyaksikan MoU melibatkan pengendali rangkaian mudah alih negara (MNO).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI