fb fb fb fb fb

PBS nilai murid secara menyeluruh

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli ketika ditemu bual Segmen Selamat Pagi Sarawak di SARAWAKfm

KUCHING, 26 September - Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memberi peluang kepada murid menunjukkan potensi mereka secara menyeluruh, bukan hanya melalui keputusan peperiksaan.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, PBS menilai murid bukan sahaja dari aspek akademik tetapi turut meliputi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

“Pentaksiran ini memberi gambaran jelas tentang prestasi setiap murid. Dengan penilaian menyeluruh, guru dapat memantau pertumbuhan, ibu bapa dapat melihat perkembangan anak mereka, dan akhirnya kita dapat membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya dalam temu bual Segmen Selamat Pagi Sarawak di SARAWAKfm.

PBS merangkumi empat komponen utama iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Psikometrik, serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

Menurut beliau, murid berkeperluan khas juga dinilai di bawah PBS mengikut tahap penguasaan masing-masing, menjadikan sistem ini lebih adil, telus dan inklusif.

Pelaksanaan PBS selaras dengan Deklarasi Incheon 2015 yang menekankan pendidikan berkualiti mesti bersifat inklusif dan saksama untuk semua murid.

PBS dijadikan teras sistem pentaksiran nasional di sekolah rendah dan menengah rendah mulai tahun 2023.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE