fb fb fb fb fb

Mohamad Zainal fokus hapus rangkaian dadah di Sarawak

Majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak

KUCHING, 26 September - Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, bertekad melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di negeri ini, khususnya melibatkan dadah jenis sintetik.

Beliau berkata, strategi bersama pasukan polis Sarawak akan dirangka selepas mendapat gambaran penuh mengenai situasi semasa di negeri itu.

“Kebanyakan kes melibatkan dadah sintetik yang digunakan di seluruh dunia. Jadi kita akan lihat pendekatan terbaik dan pastikan jenayah ini dapat kita banteras bersama,” katanya.

Datuk Mohamad Zainal yang berpengalaman luas dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berkata, kepakaran itu akan dimanfaatkan bagi mencari formula melumpuhkan aktiviti pengedaran yang merosakkan masyarakat.

Beliau ditemui selepas majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan beliau menggantikan Datuk Mancha Ata, dan disaksikan Ketua Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus.

Anak jati Lawas berusia 47 tahun itu sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE