KUALA LUMPUR, 3 Jun- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 berjaya memecahkan rekod dengan kehadiran lebih 1.8 juta pengunjung.
PBAKL yang berlangsung selama 10 hari dilihat berjaya menarik hampir 80 peratus pengunjung daripada golongan muda.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sambutan yang diterima melepasi sasaran awal sebanyak 1.5 juta pengunjung.
"Saya juga dimaklumkan bahawa 70 peratus, 80 peratus pengunjung adalah anak-anak muda.
"Ini menunjukkan potensi yang cukup baik bahawa anak-anak muda kita memang berminat dengan buku dan memang berminat dengan budaya ilmu.
"Jadi, saya harap untuk tahun hadapan kita akan dapat terus mempertingkatkan lagi usaha-usaha untuk membawa lebih banyak khazanah dan buku-buku terbaik dari seluruh dunia," katanya selepas majlis penutupan PBAKL 2024 ke-41 di sini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata lebih 100,000 baucar buku telah ditebus selepas dilancar pada 31 Mei lalu.
Fadhlina berkata bagi peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) penebusan lebih 56,000 baucar buku membabitkan murid Tahun Empat dan ke atas telah dibuat manakala selebihnya di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau berkata pihak kementerian akan meneliti sambutan baucar itu dan kos yang terlibat bagi pelaksanaannya pada masa akan datang.
"Bagaimana kita boleh terus mempertingkatkan 'voucher' ini khususnya untuk memastikan bukan sahaja aspek pembacaan progresif, tetapi juga menggunakan sepenuhnya sentuhan digital dan teknologi.
"..Dan aplikasi yang ada telahpun memperkukuhkan pelantar delima kita, khususnya di peringkat KPM," katanya.
Tempoh penebusan dan penggunaan inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar diteruskan sehingga 31 Disember ini.