SHAH ALAM, 3 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat untuk bersama-sama menjadikan Malaysia sebuah negara MADANI yang berpaksikan kepada kekuatan, semangat dan berjiwa Islam.
Pembangunan negara juga harus dicapai dan dipacu, bukan sekadar meneroka penemuan baharu, tetapi ianya perlu berakarkan kepada kekuatan akidah dan akhlak Islam.
“Kita nak jadikan Malaysia ini MADANI, maknanya negara yang maju, negara yang selamatkan rakyat, tetapi negara yang berpaksi kepada kekuatan, semangat dan jiwa Islam", katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika berucap pada Maulid Akhar Darul Ehsan Berselawat, di perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor.
Program bersempena Festival Turath Islami Selangor 2024 itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Bekas Mufti Besar Mesir, Prof. Dr Ali Jumah.
Datuk Seri Anwar berbaju melayu putih bersampin biru lengkap bersongkok berqasidah dan berselawat bersama-sama lebih 50,000 hadirin yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin As-Segaff.