IPOH, 2 Disember- Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang disediakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah siap sepenuhnya.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata GPP itu akan menjadi panduan pengurusan dan pengoperasian tapak perkhemahan untuk pihak berkuasa, pengusaha dan operator tapak perkhemahan serta orang awam.
Menerusi GPP, beberapa langkah proaktif dipertimbangkan termasuk aspek kawalan perancangan dan penguatkuasaan lebih tegas oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Garis panduan ini telah kita kenal pasti pelbagai aspek. Pertama, melibatkan kesesuaian lokasi. Kedua, tempat tersebut yang memang boleh dimajukan. Ketiga, semua kemudahan awam wajib disediakan di tapak perkhemahan seperti tanda, surau seperti ada tempat pencahayaan, jaringan internet dan lain-lain.
Kesemua aspek ini akan dijadikan garis panduan untuk PBT keluarkan lesen," kata Nga kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian GPP Tapak Perkhemahan di Taman DR Seenivasagam, di sini.
Penyediaan GPP itu dimulakan ekoran kejadian tanah runtuh tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, Disember lalu.