JERANTUT, 30 Disember-Masyarakat orang asli yang terkepung akibat kenaikan paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang baru-baru ini dibantu.
Bagi tujuan itu, Pasukan Nature Lifeguard Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang telah membawa 51 bakul makanan menaiki bot fiber sepanjang 37 kaki.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jerantut, Kapten (PA) Muszaidi Musa berkata masyarakat orang asli yang terkesan adalah di Kampung Teresek, Tabung, Dedari dan Yong.
"Pasukan berkenaan diwujudkan pada tahun lalu.Terdapat 44 anggota berdaftar dan 11 orang daripadanya terdiri daripada suku kaum Bateq," kata Muszaidi kepada pemberita di sini.
Tambahnya, sepanjang Monsun Timur Laut, pasukan itu berperanan melaksanakan tugas kesiapsiagaan, menyelamat, perlindungan dan khidmat kemanusiaan terutama ketika berlaku kecemasan serta bencana.