fb fb fb fb fb

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berjaya turunkan harga barang

(Ismail Sabri)

SERDANG, 13 Ogos- Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berjaya menurunkan harga barang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan pasukan berkenaan menampakkan hasil selepas beberapa harga barang mulai turun.

"Atas intervensi yang dibuat oleh kerajaan, harga barang, harga ayam dah turun, lambakan ayam di pasaran begitu besar sekali jumlahnya yang sebabkan harga walaupun kita tetapkan RM9.40 harga siling tetapi sekarang ini RM7.50 pun ada, RM7 pun ada.

"Sebab itu bagi saya fokus kita lebih kepada menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat kunjungan santai ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

(Harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram berkuat kuasa 1 Julai lalu)

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengkaji semula permintaan peladang untuk menghapuskan larangan eksport ayam.

Menurutnya, perkara itu akan dibentangkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada minggu hadapan.

"Datuk Seri Dr Ronald akan bentang secara terperinci, kita takut nanti kita buka eksport 3.6 juta ekor sebulan, kalau kita buka takut terkesan pula dari segi bekalan untuk dalam negara.

"Bila bekalan kurang harga mesti naik, permintaan melebihi, jadi sebab itu kita minta MAFI lihat secara terperinci dari segi pengeluaran ayam untuk bulan depan," katanya.

Tambah beliau, kepentingan rakyat, penternak dan pemborong diutamakan demi memulihkan kembali ekonomi negara.

Media Baharu