KUALA LUMPUR, 21 Julai- Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bawa transisi baharu kepada usaha mengatasi peningkatan kos sara hidup.
Demikan pandangan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Nordin.
Menurut beliau, pentingnya pasukan berkenaan digerak secara lebih diplomasi dan strategik.
"Dan ini penting kerana intervensi-intervensi yang dilakukan oleh pasukan jihad inflasi ini perlu diatur secara lebih diplomasi dan berstrategik.
"Kerana kita bukan sebuah negara yang mengamalkan pendekatan berbentuk kekerasan tetapi sekiranya perlu berkemungkinan pendekatan lebih agressif perlu dilakukan oleh pasukan jihad inflasi," katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam program terbitan RTM di Angkasapuri.
(Dr. Noor Nirwandy)
Tambah Dr. Noor Nirwandy, masyarakat perlu turut bekerjasama serta memahami langkah yang diambil pihak kerajaan dalam memastikan penyelesaian isu berkaitan inflasi serta pengawalan harga barang dapat dilakukan dengan efisien.
"Di sini pentingnya masyarakat untuk bersama secara holistik dan menyeluruh kerana konsep kebersamaan ini adalah satu dasar berkepentingan masyarakat.
"Masyarakat harus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna contohnya untuk melaporkan sekiranya berlaku kenaikan harga barangan, masyarakat harus memahami konsep berhubung subsidi secara bersasar," jelas beliau.