fb fb fb fb fb

Pastikan bekalan stabil, 9,400 kakitangan TNB bekerja di Aidilfitri

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 April - Hampir 9,400 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan bertugas pada Aidilfitri ini demi menjamin kestabilan elektrik di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga untuk perkhidmatan pelanggan.

(FOTO HIASAN)

“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata pemantauan di setiap negeri khususnya dalam aspek teknikal ditingkatkan menjelang Syawal.

Ini selari jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.

“Penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam (tiga hari) bermula sehari sebelum 1 Syawal berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri,” katanya.

Media Baharu