fb fb fb fb fb

Pasar raya, kedai runcit mula turun harga minyak sawit berbotol

MELAKA, 6 Ogos- Beberapa rantaian pasar raya dan kedai runcit mula menurunkan harga minyak sawit berbotol, meskipun penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi mula berkuat kuasa Isnin ini.

Langkah tersebut mendapat pujian Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berharap, pihak lain yang dapat mencontohi langkah sama.

"Kita menetapkan 8 haribulan 5kg pada harga RM34.70, mereka sudah pun menjual pada harga RM32.70 dan itu satu langkah yang baik.

"Saya harap rantaian kedai-kedai ataupun pasar raya yang lain dapat melakukan tindakan yang sama, tak semestinya tunggu 8 haribulan sebab kita tahu sebahagian daripada stok itu ada juga dibeli waktu harga murah," katanya.

(Annuar ketika mengadakan lawatan mengejut di sebuah pasar raya di Duyong, Melaka hari ini)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di sebuah pasar raya di Duyong, di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan memutuskan harga maksimum bagi minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram (kg) ditetapkan secara bulanan dengan bulan ini ditetapkan pada harga RM34.70 sen bagi Semenanjung berkuat kuasa 8 Ogos.

Keputusan penetapan harga maksimum tersebut dibuat berdasarkan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) yang akan diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap bulan.

Media Baharu