fb fb fb fb fb

Pasar nelayan akan dibina di Paitan

PAITAN, 30 Oktober - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membangunkan sebuah pasar nelayan di sini bagi meningkatkan pendapatan keluarga nelayan di daerah kecil ini dengan memasarkan dan menjual hasil tangkapan secara terus kepada pembeli.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata inisiatif LKIM itu telah diusahakan sejak awal dengan peruntukan sedia ada berjumlah RM200,000.

“Pembinaan Pasar Nelayan Paitan ini juga akan lebih teratur dan berpusat di bawah satu bumbung dengan kemudahan infrastruktur, penggunaan peralatan yang lebih baik dan selesa yang disediakan oleh LKIM.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus melihat keperluan dan infrastruktur seperti pasar nelayan ini yang diperlukan oleh masyarakat nelayan di luar bandar dalam memberi peluang kepada nelayan untuk menjual terus hasil tangkapan mereka secara terus kepada pengguna.

“Ia dilakukan tanpa penglibatan orang tengah dan secara tidak langsung memberikan pendapatan yang baik kepada nelayan,” katanya pada majlis pecah tanah pasar itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman.

(Dr Ronald Kiandee menyempurnakan simbolik pecah tanah pasar nelayan Paitan)

Ronald berkata Pasar Nelayan Paitan, yang dijangka siap akhir tahun depan (2023), akan menjadi pasar nelayan LKIM yang ke-12 di Sabah dan merupakan ke-136 di Malaysia.

Beliau turut memberitahu sejak Januari tahun ini hingga bulan lepas (September), nilai urus niaga 135 Pasar Nelayan sedia ada di seluruh negara telah mencecah RM44.1 juta dengan jualan melebihi 3,000 tan metrik.

Pada majlis itu, Ronald turut menyerahkan Bantuan 'Touch Point' Enjin Sangkut kepada 20 nelayan Paitan dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dan sektor perikanan negara.

"LKIM akan terus memastikan kebajikan golongan nelayan, yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan, yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan sekuriti bekalan makanan negara," katanya. - BERNAMA

 

 

Media Baharu