fb fb fb fb fb

Hasil siasatan Tommy Thomas yang dikemas kini akan dikemuka kepada pejabat Peguam Negara

MUAR, 30 Oktober - Polis akan mengemukakan hasil siasatan yang telah dikemas kini membabitkan Tan Sri Tommy Thomas kepada Pejabat Peguam Negara selepas kemas kini selesai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata hasil siasatan tersebut adalah melibatkan empat kertas siasatan berhubung buku 'My Story: Justice in Wilderness' yang ditulis bekas peguam negara itu serta satu kertas siasatan berhubung kenyataan Thomas pada satu forum pada 17 September lepas.

Beliau berkata pihaknya memerlukan sedikit masa lagi berikutan ada beberapa perkara perlu dikemas kini sebelum ia dikemukakan semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan dan diteliti.

"Kita buat semua keterangan, kita ambil segala perkara berkaitan apa ditohmah itu diambil kira dan akan diserah kepada Peguam Negara, mereka yang akan menentukan sama ada kumpulkan satu kesalahan atau dibuat berasingan," kata Acryl Sani di sini.

(Acryl Sani bercakap kepada media selepas
Majlis penutup Kursus Asas Tiger Platoon Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA)
di Kem Batalion 6 PGA)

Acryl Sani berkata percakapan kedua-duanya akan diambil kira serta disekalikan dengan hasil siasatan buku, yang akan disekalikan sekali untuk dikemas kini.

"Kita (Polis) buat semua. Keterangan kita ambil, segala perkara yang berkaitan dengan apa yang ditohmahkan itu kita akan ambil kira dan kita akan serahkan kepada pihak Peguam Negara," kata beliau lagi.

Pada 28 Oktober lepas, Pejabat Peguam Negara dilaporkan memulangkan kembali kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia Selasa lepas untuk dilengkapkan.

Sementara itu, Thomas dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia itu juga dilaporkan dipanggil PDRM untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan ke atas Thomas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam sebuah forum bulan lepas.

Media Baharu