(Rina Harun menyerahkan sumbangan langganan aplikasi 'Littlelives' kepada 22 taska di Sepang)
PUTRAJAYA, 30 Oktober- Kementeriaan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengkaji semula pindaan peraturan ke arah penambaikan dasar melibatkan operasi taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata antara penambahbaikan yang sedang diusahakan adalah menyelaraskan syarat kelayakan pengusaha taska, serta peraturan mewajibkan perjumpaan pengusaha dengan ibu bapa.
Beliau turut menambah, pihaknya juga mewajibkan penggunaan buku log termasuk pekerja yang diambil perlu mempunyai sijil kemahiran yang boleh diiktiraf.
"Keperluan pekerja taska yang memiliki sijil dalam bidang ini amatlah diperlukan. Ia sebagai menjamin keselamatan dan perkembangan kanak-kanak.
"Sekiranya memiliki sjil kemahiran, ia juga memerlukan pengiktirafan yang sepatutnya. Untuk itu, kita dalam proses untuk mengubah peraturan dan juga dasar di pihak kementerian." Jelasnya ketika ditemui pemberita RTM.
(Rina Harun ketika ditemui pemberita RTM)
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyumbangkan langganan aplikasi 'Littlelives' selama setahun kepada 22 taska di Sepang.
Ia bertujuan membolehkan ibu bapa memantau tahap keselamatan anak masing-masing.
KPWKM juga menggalakkan lebih banyak taska diwujudkan di premis kerajaan serta pemberian insentif kepada majikan yang membuka taska di tempat kerja.
Pewujudan lebih banyak taska khusus untuk kanak-kanak dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) turut digalakkan.