fb fb fb fb fb

Gagal patuhi Harga Maksimum Musim Deepavali, 24 peniaga dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - 24 peniaga dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 yang berkuat kuasa 20 hingga 26 Oktober lalu.

Ia hasil pemeriksaan ke atas 111 premis borong dan 4,228 premis runcit sepanjang tempoh berkenaan, kata Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.

"Pelaksanaan skim itu adalah langkah proaktif kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat terutama sepanjang tempoh perayaan Deepavali.

"Kuasa pengguna merupakan langkah pencegahan awal agar tidak mudah dimanipulasi segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam situasi sukar ketika ini," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan, gagal meletakkan tanda harga dan tanda harga khas merah jambu.

Beliau berkata, barangan yang disenaraikan sebagai barangan harga terkawal bagi skim itu adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

SHMPP dilancarkan bagi perayaan Deepavali bermula hari 20 Oktober hingga 26 Oktober lalu.

Tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari dan berkuat kuasa pada empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Media Baharu